PHNOM PENH – Sekumpulan penduduk Kemboja yang mengenakan skirt yang diperbuat daripada daun dan menghiasi wajah dengan cat terang berarak di jalanan dalam satu ritual yang diamalkan sejak turun-temurun.
Dalam perarakan tersebut mereka berdoa kepada ‘penjaga purba’ untuk menurunkan hujan, membawa nasib baik serta mengekalkan kedamaian dengan negara jiran Thailand.
Terdahulu, kedua-dua negara bersetuju mematuhi gencatan senjata yang rapuh pada Disember lalu selepas siri pertempuran berdarah di sempadan mengorbankan berpuluh-puluh nyawa.
Bagaimanapun, kedua-dua negara masih mempunyai pasukan tentera yang ditempatkan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melakukan pelanggaran gencatan senjata.
“Kami tidak mahu peperangan lagi, kami mahu ia berakhir. Jadi kami berdoa kepada semangat penjaga Pring Ka-Ek untuk memastikan pasukan kami di barisan hadapan kekal selamat.
“Kami mendapat apa sahaja yang kami minta daripadanya, jadi kami meraikan perayaan ini setiap tahun,” kata Tum Vannak, 24.
Penduduk di Kampung Phum Boeung, di pinggir ibu negara ini mendakwa upacara itu telah telah diamalkan sejak turun-temurun.
Beratus orang menyertai perarakan tersebut melalui kampung ke kuil Pring Ka-Ek yang diadakan kelmarin.
Bagi Sem Pov, 30, dia memilih menyertai perarakan dengan menunggang kuda dalam keadaan wajah dan dadanya dicat berbelang hitam putih, manakala giginya dihitamkan menggunakan pengilat kuku berkata:
“Kami berdoa agar hujan turun dengan lebat supaya hasil tanaman dan padi pada musim ini menjadi lebih melimpah-ruah,” jelasnya. – AFP.













