SEOUL – Sebuah kenderaan dipandu oleh seorang warga emas merempuh dinding kaca dan terjunam ke dalam sebuah kolam renang di Korea Selatan, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku sekitar pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) di Pusat Sukan Hanam, bandar Miryang, baru-baru ini.
Rakaman video kejadian menunjukkan kenderaan dipandu wanita berusia 74 tahun itu jatuh ke dalam kolam renang dan nyaris menghempap seorang perenang.
Wanita terbabit yang juga ahli kelab renang, dilaporkan cuba keluar dari kawasan itu selepas selesai berenang.
Dia tidak sengaja memasukkan gear mengundur, menyebabkan keretanya melanggar beberapa kenderaan lain dan merempuh dinding kaca sebelum terjunam dalam kolam.
Ketika kejadian, terdapat lapan hingga 10 orang sedang berenang.
“Beberapa orang cuba mengeluarkan pemandu dari kereta. Dia diberikan bantuan pernafasan oleh seorang jurulatih,” kata saksi.
Polis masih menyiasat insiden tersebut. – AGENSI














