fbpx
Sebuah van jenazah menunggu salah seorang jenazah di Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang, hari ini. Foto oleh MOHD FAHMI ISMAIL/KOSMO!

Tiga pelajar IPT maut, kereta hilang kawalan sebelum rempuh treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Tiga pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 34 Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak, Pemangku Senior Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut sekitar pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf dari arah Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur.

“Dipercayai kereta dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler yang sedang bergerak.

“Akibat kemalangan itu, tiga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat semua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Faizal Mohd di talian 019-2676097 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga lelaki maut, manakala seorang wanita parah selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar belakang lori simen di Kilometer 34, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LPT) Karak menghala ibu negara berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.07 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN