KUALA LUMPUR – Taktik licik ‘Geng Hadi’ meleraikan motosikal curi sebelum komponennya dijual dan rangka dibuang ke dalam sungai di sekitar Kepong terbongkar selepas enam suspek diberkas polis pada 16 Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, sindiket yang bergiat aktif sejak Februari lalu itu dipercayai menjalankan kegiatan curi motosikal di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 55 tahun yang bekerja sebagai penghantar surat berhubung kehilangan motosikal jenis Honda EX5 di tempat letak motosikal Blok A Flat Taman Mutiara Fadason pada 13 Mei lalu.
“Bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan, pasukan dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia antara 15 hingga 33 tahun.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal dan hasil siasatan mendapati sindiket ini diketuai seorang suspek dikenali sebagai Hadi berusia 18 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, motosikal yang dicuri akan dibawa ke sebuah stor di Kepong sebelum dileraikan bagi mendapatkan komponen tertentu untuk dijual serta kegunaan sendiri.
“Rangka motosikal yang sudah dileraikan pula akan dibuang ke dalam sungai sekitar Kepong bagi menghapuskan bukti,” ujarnya.
Katanya, hasil serbuan dan tangkapan dilakukan, polis berjaya merampas dua motosikal, lima rangka motosikal dalam keadaan tidak sempurna, satu set penutup (coverset) motosikal serta dua telefon bimbit.
Menurut beliau, hasil tangkapan dan rampasan itu turut berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal di sekitar Sentul dengan jumlah kerugian dianggarkan RM20,000.
“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula 17 Mei lalu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Tambah Jasni, siasatan juga mendapati suspek bawah umur tidak bersekolah manakala suspek dewasa pula merupakan penganggur. – KOSMO! ONLINE














