GOMBAK – Taktik ‘tailgating’ atau mengekori rapat kenderaan di hadapan dikenal pasti sebagai antara kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya bagi mengelak bayaran tol di Lebuh RayaKuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.
Pengurus Besar AFA Prime Berhad, Ismaliza Ibrahim berkata, majoriti kes yang direkodkan sejak 2023 melibatkan kenderaan kelas satu dengan jumlah sekitar 95 peratus daripada keseluruhan kesalahan.
Menurut beliau, sebanyak 2,122 surat tuntutan (LOD) telah dikeluarkan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 membabitkan nilai tuntutan keseluruhan RM21,181.
“Sebanyak 571 LOD dengan nilai RM6,177.80 direkodkan pada 2023, diikuti 853 LOD (RM8,190) pada 2024 dan 698 LOD (RM6,813.20) bagi tahun lalu.
“Kesalahan yang direkodkan melibatkan tiga kategori utama iaitu tailgating, melanggar palang tol dan tidak berhenti di laluan manual plaza tol,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi bersepadu, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bersama agensi berkaitan, kesalahan sama masih berulang secara konsisten setiap tahun.
Katanya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup, majoriti pelanggaran dilakukan pengguna kenderaan persendirian dan bukannya kenderaan komersial.
“Malah terdapat kenderaan dikesan melakukan kesalahan sehingga 30 kali,” ujarnya.
Tambah beliau, kadar pembayaran semula notis tuntutan juga masih rendah iaitu kurang daripada satu peratus sekali gus menunjukkan tahap pematuhan pengguna yang belum memuaskan.
“Kesedaran pengguna masih rendah walaupun notis tuntutan telah dikeluarkan,” katanya.
Katanya, operasi khas hari ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mengesan pesalah tegar yang melakukan kesalahan berulang.
“Setiap kesalahan boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pindaan) 1994,” katanya. – KOSMO! ONLINE














