LANGKAWI – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah, bulan lalu.
Tertuduh, Zuhaimi Saad, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi kira-kira pukul 11.05 malam, 10 April lalu.
Kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pertuduhan sama turut menyebut Mahkamah Majistret di sini pada 16 Ogos 2023 mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama dan dihukum enam bulan penjara dan pengawasan selama tiga tahun.
Tertuduh juga disabitkan sekali lagi pada 9 Januari 2024 dengan kesalahan di bawah akta sama dan dihukum tujuh bulan penjara dengan dua tahun pengawasan.
Susulan itu, pendakwaan terhadapnya pada hari ini dilakukan di bawah Seksyen 39C (1)(b) 1952 dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqlima Azizi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, manakala mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kes akan disebut semula pada 25 Jun depan.
Media sebelum ini melaporkan satu sindiket pengedaran dadah di Langkawi disyaki didalangi beberapa individu termasuk seorang anggota polis dan lelaki dikenali sebagai Bagok.- KOSMO! ONLINE














