fbpx
Anggota polis membawa Nor Azuan untuk didakwa atas pertuduhan mencederakan seorang anggota polis di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAH LAH

Penoreh getah tikam anggota polis guna penebuk tayar dipenjara 12 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang penoreh getah dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang anggota polis berpangkat lans koperal menggunakan senjata tajam pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Nor Azuan Ariffin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Muhammad Syahrill Jusof, 27, dengan menggunakan senjata besi tajam di tepi sebuah rumah di Kampung Star Baru di sini kira-kira pukul 9 pagi pada 16 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mariana Mat Kudin.

Terdahulu, Muhammad Shahril memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengenai kesalahan mencederakan anggota polis dan pengajaran kepada tertuduh.

Mariana dalam rayuannya memaklumkan tertuduh bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan memerintahkan pemenjaraan itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 Mei.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis melakukan operasi pencegahan jenayah di sebuah rumah di Kampung Star Baru di sini sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi pintu sebelah kiri kediaman itu.

Suspek yang memegang senjata tajam iaitu alat penebuk tayar sepanjang kira-kira 7.5 sentimeter di tangan kanannya bertindak agresif apabila meluru ke arah salah seorang anggota polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN