KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menilai semula permohonan daftar lewat kad pengenalan dua beradik yang dilahirkan di Malaysia tetapi masih gagal memperoleh identiti negara ini.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes berkenaan wajar diberi perhatian kerana ibu kandung kepada dua beradik terbabit, Siti Zubaidah, 50-an, merupakan warga tempatan sejak lahir.
“Kita hadir hari ini untuk merayu kepada pihak JPN supaya menilai semula penolakan ini.
“Kita juga merayu supaya JPN tidak menggunakan pendekatan terlalu rigid dalam keadaan seperti ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat MHO, di sini hari ini.
Menurut beliau, kebanyakan isu melibatkan kegagalan memperoleh kewarganegaraan biasanya membabitkan ibu atau bapa warga asing, namun kes kali ini berbeza kerana ibu kepada dua beradik itu merupakan rakyat Malaysia.
Katanya, anak sulung dikenali sebagai Rahmat Ramadhan, 27, dilahirkan di Hospital Kota Bharu pada tahun 1999 manakala adiknya, Syahrul Hizab, 23, dilahirkan di Hospital Sungai Buloh pada tahun 2003.
“Kedua-duanya lahir di Malaysia dan mempunyai sijil kelahiran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua beradik itu kemudian dibawa ke Indonesia oleh bapa mereka yang merupakan warga Indonesia ketika masih kecil sebelum kembali ke Malaysia pada tahun 2023 untuk mencari ibu kandung mereka.
Menurutnya, pihak keluarga sudah memenuhi pelbagai permintaan dokumen termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan hubungan ibu dan anak.
Bagaimanapun katanya, permohonan daftar lewat kad pengenalan itu masih ditolak susulan isu ketidakselarasan maklumat pada pasport Indonesia dengan sijil kelahiran Malaysia. – KOSMO! ONLINE














