fbpx
ZULKIFLI Hasan menyampaikan kertas kerja dalam dalam Simposium Haji Antarabangsa di Jeddah, semalam.

TH model ijtihad pengurusan haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JEDDAH – Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan antara model ijtihad institusi yang menggabungkan fiqh dan ekonomi dalam pengurusan kewangan umat Islam Malaysia untuk ke Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, peranan yang dilaksanakan oleh TH membuktikan bahawa institusi itu bukan sahaja berperanan sebagai tabung simpanan umat Islam, tetapi sebagai sistem pengurusan haji yang tersusun dan komprehensif.

Katanya, tanggungjawab yang digalas TH berjaya mengetengahkan Malaysia sebagai antara negara yang membangunkan model pengurusan haji yang menjadi contoh dunia.

“Tabung Haji menjadi model global unik yang menggabungkan fiqh dan ekonomi dalam pengurusan simpanan dan persediaan haji. Ia membuktikan bahawa ijtihad institusi mampu menghasilkan manfaat besar kepada umat Islam.

“Institusi ini berdiri sebagai bukti unik di peringkat global terhadap kekuatan transformasi ijtihad apabila diaplikasikan dengan ketelitian ilmiah dan visi yang praktikal yang telah melahirkan institusi yang memberikan manfaat berpanjangan kepada dunia Islam serta menjadi inspirasi kepada inisiatif seumpamanya di pelbagai negara,” katanya ketika menyampaikan kertas kerja dalam Simposium Haji Antarabangsa, di sini semalam.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pengurusan haji yang semakin kompleks menuntut perubahan semasa dan penyesuaian berteraskan pendekatan ijtihad kontemporari yang berpandukan Maqasid Syariah.

Menurut beliau, pelaksanaan ijtihad bukan bertujuan mengubah hukum yang tetap, sebaliknya memastikan keanjalan syariah terus relevan dalam menghadapi realiti semasa.

Katanya, antara contoh ijtihad kontemporari termasuklah pengurusan kuota jemaah haji bagi mengelakkan kesesakan, dasar kesihatan seperti vaksinasi ketika pandemik Covid-19 serta penggunaan teknologi digital termasuk aplikasi pengurusan haji.

“Kecerdasan buatan, platform pendaftaran elektronik, aplikasi bimbingan ibadah, serta sistem Nusuk sebagaimana didokumentasikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam laporan rasminya telah membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam memudahkan pelaksanaan ibadah haji.

“Teknologi-teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan jemaah, tetapi turut memperkukuh aspek bimbingan, keselamatan dan kelancaran perjalanan ibadah di tanah suci,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN