fbpx
Antara warga asing yang ditahan menerusi Ops Gegar di ibu negara, kelmarin.

Imigresen ‘gegar’ kawalan ketat sindiket pelacuran, 24 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket persundalan yang berselindung di sebalik sistem kawalan ketat akhirnya tumpas selepas Jabatan Imigresen (JIM) menggempur sebuah premis di Jalan Tun Siew Sin, di sini, kelmarin.

Serbuan menerusi Ops Gegar pada pukul 3.30 petang itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dan Pasukan Taktikal Khas (Pastak), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket yang beroperasi di sebuah rumah kedai empat tingkat itu dipercayai menggunakan pelbagai helah bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu disusun rapi dengan operasi dalaman premis dikendalikan seorang warga asing bergelar ‘kapten’, manakala pemantauan luar premis dilakukan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘abang long kawasan’.

Katanya, individu terbabit berperanan menyaring pelanggan selain memantau pergerakan mencurigakan di sekitar premis.

“Malah lokasi premis yang dipilih berhampiran stesen bas yang sentiasa sibuk dipercayai menjadi antara strategi sindiket untuk berselindung di sebalik kesibukan kawasan tumpuan awam.

“Namun, hasil risikan selama sebulan, Pegawai Risik Pastak berjaya memperoleh maklumat taktikal penting sebelum operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramaj 29 individu diperiksa melibatkan 27 warga asing dan dua warga tempatan dengan 24 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan wanita Indonesia, tujuh wanita Bangladesh, lima lelaki Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki Nepal, Indonesia dan Myanmar.

“JIM turut mengeluarkan lima saman saksi kepada dua lelaki warga tempatan dan tiga lelaki Bangladesh yang berada di premis berkenaan.

“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

Zakaria menambah, siasatan mendapati sindiket menawarkan perkhidmatan seks secara terus kepada pelanggan melalui penjaga premis yang beroperasi di tingkat tiga dan empat bangunan tersebut dengan bayaran antara RM80 hingga RM120 bagi sesi selama 15 minit.

“Wanita yang terbabit pula dipercayai bekerja mengikut dua syif iaitu syif siang dari pukul 10 pagi hingga 8 malam dan syif malam dari pukul 8 malam hingga 5 pagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pihak JIM turut menyita buku catatan, kondom, minyak pelincir dan set CCTV yang dipercayai digunakan bagi tujuan operasi dan pemantauan premis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN