Warga Lembah Klang khususnya yang merupakan pengguna setia kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT) sejak bertahun dulu sehingga sekarang adalah antara komuniti yang cukup penyabar, tenang dan tidak marah-marah bila berhadapan dengan isu atau masalah teknikal berkaitan sistem pengangkutan awam itu.
Mereka agaknya sudah lali dengan suasana tegang tersebut meskipun penat berdiri, menunggu lama jika ada arahan terbaharu pihak pengurusan hinggalah mereka sampai ke destinasi yang dituju.
Perkara ini sudah lama berlaku dan apa yang dilihat hanya sekadar keluhan pengguna di status media sosial masing-masing, namun tiada yang mengamuk, bergaduh atau menjerit-jerit hingga menganggu keselamatan pengguna lain.
Pengguna tegar LRT sahaja yang tahu betapa sakitnya mereka ‘disidai’ lama menunggu di stesen yang menghadapi masalah teknikal.
Jutaan pengguna menggunakan kemudahan penting itu setiap hari, malah ini adalah faktor penguat warga kota untuk berjimat dalam perbelanjaan harian kerana tambangnya agak berpatutan berbanding menaiki kenderaan e-hailing.
Disebabkan itu, ramai yang menyewa rumah berdekatan di stesen LRT, malah ada yang sanggup membeli hartanah yang dibangunkan di kawasan jajaran Stesen LRT untuk membolehkan mereka mudah bergerak menuju ke pusat bandar dan juga ke pejabat.
Bagaimanapun, kesetiaan mereka kini semakin teruji apabila terlalu kerap masalah teknikal LRT sehingga boleh mengugat imej sistem pengangkutan yang kita banggakan.
Menyebut tentang tambang LRT, sekiranya perlu dinaikkan untuk mengatasi masalah teknikal yang membebankan syarikat pengurusan dan juga kepada kerajaan, teruskan sahaja niat tersebut. Sebagai pengguna LRT, penulis sanggup dan bersetuju menghadapi kos kenaikan tersebut.
Mungkin inilah masa yang terbaik untuk dinaikkan kadar caj tambang seiring dengan pertambahan kos pengurusan, operasi yang ditanggung oleh syarikat pengurusan.
Jika sudah alang-alang segala barang naik, apalah sangat sekadar naik tambang antara RM1 hingga RM5 tetapi pelbagai masalah teknikal dapat diselesaikan.
Kenaikan tambang ini pastinya dirasai pada masa sekarang, tetapi pengorbanan ini adalah untuk kebaikan dan kemudahan jangka panjang.
Jika kita boleh bazirkan duit membeli kopi atau minuman manis berjenama popular setiap hari dan sekotak rokok yang semakin tinggi harganya, apalah sangat untuk membayar tambang LRT yang hanya naik dengan kadar peratusan yang rendah.
Memang ia satu keputusan sukar yang perlu dibuat tetapi jika kenaikan ini dapat membantu meningkatkan kualiti pengangkutan awam, sambutlah sahaja keputusan itu dengan fikiran terbuka dan waras.
Namum dalam masa yang sama, selepas kenaikan tambang tersebut, syarikat pengurusan juga jangan ambil kesempatan, bersikap sambil lewa sebaliknya ditambah baik kemudahan sedia ada, malah dipertingkatkan lagi bagi membayar balik pengorbanan pengguna setia anda.














