PEMANGKU Sultan Johor yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan pembinaan infrastruktur baharu adalah ‘buah tangan’ terakhir buat skuad Harimau Selatan.
Menerusi komen di laman Instagram rasmi JDT, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah akan terus memberikan komitmen untuk menaik taraf tiga dua stadium utama di Johor iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Namun, tumpuan utama Tunku Mahkota Ismail adalah kepada pembangunan pusat latihan baharu yang dijangka menjadi yang terbaik di dunia.
“Stadium SSI akan upgrade (dinaik taraf) ke fasa baharu, stadium (di) Larkin di upgrade semua (jadi baru).
“Pusat latihan ini akan menjadi ‘my last contribution’ (sumbangan terakhir) buat JDT. Ia akan menjadi antara yang terbaik di dunia yang boleh dibanggakan oleh semua penyokong Johor,” titah baginda.
Semalam, Tunku Mahkota Ismail berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pecah Tanah pembangunan pusat latihan baharu Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di Iskandar Puteri berdekatan dengan SSI.
Antara kemudahan bertaraf dunia yang bakal disediakan termasuk beberapa padang latihan, fasiliti latihan tertutup, pusat perubatan, stadium mini, auditorium serta pelbagai kemudahan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pusat latihan moden yang dibangunkan di kawasan seluas 15.78 hektar berhadapan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu bakal menjadi hab pembangunan bola sepak bertaraf antarabangsa.
Menurut Garcia, projek pembangunan fasiliti tersebut dijangka siap selewatnya pada 2029 sebelum digunakan sepenuhnya oleh semua pasukan JDT. – KOSMO! ONLINE














