PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di utara Semenanjung hingga pukul 3 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat adalah seluruh Perlis dan Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap dan Sik).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pulau Pinang (Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai Tengah),” lapor MetMalaysia.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














