NILAI – Hasrat seorang wanita untuk menambah pelaburan saham membawa padah apabila dia kerugian RM163,500 selepas dipercayai diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi sebuah aplikasi.
Mangsa berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pembantu pengurus sumber manusia sebuah syarikat swasta dikatakan mula menyertai skim pelaburan itu selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi satu aplikasi Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, mangsa kemudian ditawarkan menyertai satu pelaburan saham dengan keuntungan lumayan dan diminta memuat turun aplikasi tersebut sebelum meneruskan beberapa transaksi pembayaran ke akaun bank berbeza.
“Sepanjang tempoh 18 Mac hingga 15 Mei lalu, mangsa melakukan 11 transaksi membabitkan jumlah keseluruhan RM163,500. Mangsa turut dimaklumkan memperoleh keuntungan RM382,975.07, namun tidak pernah membuat pengeluaran kerana diminta menunggu bagi memastikan pelaburan terus berjalan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila akaun pelaburan itu disekat ketika dia cuba masuk untuk menambah pelaburan pada 19 Mei lalu dan kemudian tampil membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE














