fbpx
PEKERJA syarikat kurier yang dilantik Tabung Haji melakukan proses penghantaran pos ke tanah air di Hotel Al-Tayser, Mekah, baru-baru ini.

Jemaah haji hantar lima tan barangan kurier sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Penghantaran barangan kurier jemaah haji dari tanah suci ke Malaysia kini mencecah lima tan sehari menjelang kemuncak ibadah wukuf di Arafah.

Penolong Pengurus Operasi Haji, Mohd. Roshidi Loman berkata, jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh terdekat terutamanya apabila ramai jemaah mula menghantar pulang barangan bagi mengurangkan berat bagasi.

Katanya, sehingga kini kira-kira 133 tan barangan telah dihantar ke Malaysia dalam sepanjang operasi haji yang bermula pada 18 April lalu.

“Kami menjangkakan jumlah penghantaran barangan jemaah haji Malaysia musim ini meningkat kepada 400 tan berbanding kira-kira 300 tan tahun lalu susulan pertambahan permintaan terutama menjelang kemuncak ibadah wukuf di Arafah.

“Ketika ini purata penghantaran harian mencecah lima tan sehari dan jumlah itu dijangka terus meningkat terutama sebelum wukuf apabila jemaah mahu mengurangkan beban bagasi untuk fokus kepada ibadah di Arafah dan Mina,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Roshidi, antara barangan paling banyak dihantar ialah makanan seperti kurma, kacang dan air zamzam selain cenderamata termasuk jubah serta pelbagai barangan untuk keluarga di tanah air.

“Setakat ini, Selangor merekodkan jumlah penghantaran tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) telah melantik lima syarikat bagi mengendalikan perkhidmatan penghantaran bagasi dan barangan jemaah musim ini antaranya termasuk Pos Malaysia Berhad.

“TH turut menetapkan kadar harga seragam bagi semua syarikat iaitu RM18 sekilogram untuk penghantaran ke Semenanjung Malaysia manakala RM23 sekilogram bagi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jemaah supaya hanya menggunakan perkhidmatan syarikat yang dilantik TH bagi mengelakkan masalah kehilangan atau kerosakan barangan.

“TH tidak bertanggungjawab terhadap sebarang isu melibatkan syarikat yang tidak dilantik secara rasmi.

“Sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barang, jemaah boleh membuat aduan kepada TH dan pihak kami akan mengambil tindakan lanjut bersama syarikat berkaitan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN