PETALING JAYA – “Dia infak dron berharga RM15,000 untuk misi ni. Jadi dia terbangkan dron tu untuk tengok kapal pengganas Z (Zionis) dari jauh”.
Itu perkongsian salah seorang aktivis yang pernah ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza, tahun lalu, Dr. Taufiq Raziff.
Beliau berkata, ia antara strategi peserta GSF yang juga pempengaruh, Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs yang tidak diketahui ramai.
“Ni rahsia kita kita ja ni. Harap geng 8200 tak baca lah. Nota penting: Infak tu maksudnya dia korbankan dron ni untuk misi sebab kalau dipintas, dia akan campak ke laut juga dron ni supaya pengganas Z tak dapat maklumat sensitif dalam dron tu.
“Saya percaya dron tu pendapatan utama dia sebagai jurugambar, tapi ia jadi sangat bernilai bila kita infak apa yang kita paling cintai. Saya rasa dia faham sangat benda ni. Semoga Allah terima ya Haroqs,” katanya di media sosial.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Kapal Alcyone yang membawa beberapa peserta GSF 2.0 termasuk dua rakyat Malaysia iaitu Haroqs dan Chin dijangka tiba di perairan Gaza kira-kira 16 jam lagi setakat pukul 11.30 pagi (waktu Malaysia).
Berdasarkan paparan di Sumud Nusantara Tracker, kapal Alcyone kini memecut pada kelajuan 15.5 kilometer perjam (km/j) dan dijangka melepasi Zon Merah 2 dalam tempoh empat jam dari sekarang. – KOSMO! ONLINE














