fbpx
Mohamad Sabu (tengah) bergambar bersama penaja pada Program Sesi Hi-Tea Pitch and Connect @MAHA 2026 di MAEPS hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

MAHA 2026 sasar potensi pelaburan RM8 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan, menyasarkan potensi pelaburan RM8 bilion menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Persefahaman (MoA).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, acara dwitahunan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini juga dijangka dihadiri lebih empat juta pengunjung dan penglibatan 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara dengan nilai jualan langsung RM55 juta.

Menurutnya, tema kali ini ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ yang memberi penekanan kepada usaha meningkatkan nilai dalam keseluruhan rantaian agromakanan negara.

“Program ini juga dijangka melibatkan seramai 800,000 golongan belia. Ini adalah dwitahunan, jadi lebih kurang ada persamaan, tapi ada kelainan.

“Tahun ini kita nak menumpukan ke arah pemodenan supaya generasi muda akan lebih terlibat dan minat pertanian. Ini dipersembahkan dalam pelbagai bentuk yang akhirnya membawa satu penghasilan baik kepada pengusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Hi-Tea bersama penaja berpotensi MAHA 2026 menerusi sesi ‘Pitch and Connect @ MAHA2026’ di MAEPS di sini, hari ini.

Mohamad berkata, antara pemodenan pertanian diperkenalkan pada MAHA 2026 termasuk berkaitan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI), penggunaan dron untuk semaian benih padi selain kawalan.

“Dalam hal pertanian ini, akan ada pelbagai penciptaan perkara baharu dan ia sentiasa berubah ke arah pemodenan.

“Mungkin hari ini kita cakap (ini) moden, tapi 20 tahun lagi, yang moden sekarang ini sudah ketinggalan zaman. Jadi pentingnya penyediaan makanan dan keterjaminan makanan itu bagi Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.

Katanya, dalam memastikan kejayaan penganjuran MAHA 2026, pihaknya telah melakukan secara aktif termasuk memulakan penganjuran di peringkat zon utara, diikuti Melaka, Klang di Selangor, Kota Kinabalu di Sabah, seterusnya Labuan dan Kelantan.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dan tarikan istimewa turut dirancang sepanjang MAHA 2026, antaranya pameran Agrotech, Young Agropreneur, Magical Garden, pertunjukan laser, cahaya dan dron, Agro Safari, Kingdom of Agrofood dan Pavilion Negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN