KULIM – Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Ammar Haikal Abdullah, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu kereta jenis Proton Wira didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian mangsa, Lim Seng Tee, 50, di Jalan Kulim-Mahang, di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 13 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh sabitan selain denda RM20,000. Tertuduh juga boleh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dan difahamkan, dia tidak membayar denda tersebut.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R.Jayasri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hairul Alif Hairul Azam. – KOSMO! ONLINE














