PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sekali gus mengosongkan dua kerusi Parlimen berkenaan.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, kedua-dua mereka memaklumkan surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat bagi meneroka agenda politik baharu selain memulangkan semula mandat kepada rakyat kerana sebelum ini dipilih atas tiket Pakatan Harapan (PH).
“Dengan ini, kami mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berikutan hasrat kami untuk meneroka agenda politik yang baharu.
“Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi di Parlimen Pandan dan Setiawangsa memandangkan kami dipilih atas tiket Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.
Dalam pada itu, mereka turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di kedua-dua kawasan yang memberi kepercayaan kepada mereka selama dua penggal.
Bagaimanapun, Rafizi dan Nik Nazmi memaklumkan pusat khidmat Ahli Parlimen masing-masing akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu penduduk setempat.
Malah, kedua-duanya turut mengesahkan akan kembali bertanding di kerusi sama menggunakan platform baharu dikenali sebagai ‘Bersama’ pada pilihan raya akan datang.- KOSMO! ONLINE.














