KLANG – Seorang pembantu perancang acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisret di sini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal parah, minggu lalu.
Tertuduh, Low Kean Peng, 35, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Karthiyayini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) alkohol dalam 100 milimeter (ml) darah di Persiaran Kota di sini, kira-kira pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu.
Jumlah itu melebihi had 146mg alkohol dalam 100ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal yang juga mangsa, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27. Justeru, Kean Peng didakwa mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan tertuduh RM10,000 dengan seorang penjamin selain penggantungan lesen memandu dan melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pemandu sebuah kereta melawan arus dan merempuh penunggang motosikal sehingga tercampak dengan kecederaan di badan serta kaki. – KOSMO! ONLINE














