PETALING JAYA – Selepas melalui perjalanan mencabar dan cuaca ekstrem di banjaran Himalaya, seorang pendaki Malaysia, Mohd. Khafiz Bachok akhirnya berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest, awal pagi hari ini.
Perkara itu dikongsikan pasukan ekspedisi Nima Adventure menerusi satu hantaran di Facebook yang memaklumkan Mohd Khafiz atau lebih dikenali Khafiz Al Kicok berjaya tiba di puncak gunung tertinggi dunia itu pada pukul 5.24 pagi waktu tempatan.
Menurut kenyataan tersebut, perjalanan Khafiz, 48, sejak hari-hari awal persiapan sehingga ke pendakian terakhir menuju puncak menjadi satu pengalaman luar biasa buat pasukan terlibat.
“Mendaki Gunung Everest musim ini benar-benar menguji semua orang, namun kesabaran, mental yang kuat dan semangat juang Khafiz tidak pernah berubah.
“Kami amat gembira dan berbangga dengan kejayaan ini,” katanya.
Nima Adventure turut merakamkan penghargaan kepada Khafiz kerana memberi kepercayaan kepada mereka untuk mengurus serta menyokong perjalanan ekspedisi tersebut bermula dari Kathmandu sehingga ke puncak Everest.
Pasukan ekspedisi itu turut mendoakan agar Khafiz dapat turun dengan selamat selepas kejayaan bersejarah tersebut.
Gunung Everest yang berketinggian 8,849 meter dari aras laut terletak di banjaran Himalaya di sempadan Nepal dan Tibet, China serta dikenali sebagai cabaran tertinggi buat pendaki dari seluruh dunia.
Setakat ini, dianggarkan lebih 20 rakyat Malaysia berjaya menawan puncak Gunung Everest sejak kejayaan pertama dicatatkan pada tahun 1997.
Antara yang terawal dan paling dikenali ialah M. Magendran dan N. Mohandas yang menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya tiba di puncak Everest pada 23 Mei 1997.
Sebelum ini, Mohd. Khafiz dilaporkan mencipta sejarah sebagai pendaki kedua Malaysia berjaya menawan puncak Gunung K2 di Pakistan pada 26 Julai 2023 yang terkenal sebagai salah satu gunung paling berbahaya dan mencabar untuk didaki. – KOSMO! ONLINE














