JOHOR BAHRU – Penghantar makanan p-hailing bakal menerima tambahan kuota petrol bersubsidi Budi Madani RON95 (Budi95) kepada 250 liter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu akan dibincangkan Selasa ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
“Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa dalam mesyuarat, bincang. Sebab dia (pemandu p-hailing) dapat 200 liter sama macam kitalah, RON95 200 sahaja liter.
“Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik dah 50, (menjadi) 250,”katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.
Anwar berkata, cadangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri yang turun padang untuk bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan mengenai kuota sedia ada.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi membiayai kerja-kerja baik pulih yang mendesak di kawasan perumahan berkenaan selepas mendengar aduan daripada jawatankuasa penduduk setempat.
“Saya luluskan RM1 juta dulu, sekurang-kurangnya apa yang mendesak dulu. Kalau yang pecah kah, pintu kah apa sebagainya, kita baik pulih,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengarahkan pegawainya menyegerakan bantuan membaiki kemudahan tandas rosak di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara selepas perkara itu dibangkitkan warga penduduk. – KOSMO! ONLINE














