fbpx
PASUKAN Hazmat dan CBRNe melakukan kerja-kerja nyahcemar bahan kimia di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah, Melaka petang tadi.

Tumpahan bahan kimia cetus letupan kecil di pusat peranginan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Lima letupan kecil dipercayai berpunca daripada tindak balas bahan kimia dengan air dilaporkan berlaku di sebuah pusat peranginan, di sini petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Tc. Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.29 petang.

Katanya, sepasukan lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) serta Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba dimaklumkan berlaku satu letupan dan tumpahan bahan kimia di dalam bilik pam ketika pekerja sedang menjalankan kerja penyelenggaraan bahan kimia untuk kolam renang.

“Kita mengesan kehadiran gas klorin sebanyak tiga bahagian per sejuta (ppm), manakala bacaan gas lain seperti oksigen, karbon monoksida dan hidrogen sulfida berada pada paras normal,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahan kimia terlibat adalah 90 peratus trichloroisocyanuric dalam bentuk serbuk yang digunakan bagi tujuan pembersihan kolam air pancut.

“Pasukan Hazmat turut mengesan berlaku lima letupan kecil dipercayai akibat tindak balas bahan berkenaan dengan kuantiti air yang banyak selepas tumpahan berlaku.

“Dua anggota penyelam bahan kimia menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE) Tahap A telah memasuki kawasan terlibat untuk membuat zon kawalan serta proses nyahcemar sebelum bahan kimia dipindahkan ke bekas lebih selamat,” ujarnya.

Zulkhairani berkata, bacaan gas klorin kembali normal kepada sifar ppm dan semua anggota penyelamat turut menjalani proses nyahcemar kecemasan sebelum insiden ditamatkan tanpa melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN