fbpx
DUA pelajar UTeM membentangkan projek inovasi Taju Charger di Shibata City Hall, Jepun baru-baru ini.

Dua inovasi siswa UTeM selesaikan masalah orang Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA produk inovasi hasil ciptaan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berpotensi menyelesaikan beberapa masalah dalam komuniti di Jepun, khususnya berkaitan situasi kecemasan dan pasca bencana.

Produk inovasi dikenali sebagai Taju Charger dan Flood Education Recovery Kit itu dibangunkan oleh empat pelajar daripada Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), melalui program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dengan Kepujian.

Pelajar terbabit ialah Muhammad Naim Badaruddin, Muhammad Rusyaidi Hashim, Irra Shahidah Izdihar dan Nur Arisha Syamira Mohd. Shamsul di bawah bimbingan pensyarah, Prof. Madya Ts. Dr. Norfariza Ab. Wahab.

Taju Charger direka sebagai alat pengecas telefon mudah alih bersaiz kompak yang mampu mengecas pelbagai peranti dalam satu-satu masa. Alat itu sesuai digunakan di kawasan bencana atau pusat pemindahan sementara yang mempunyai kekangan sumber tenaga.

Penglibatan aktif pelajar dalam projek berasaskan komuniti global selari dengan agenda pengantarabangsaan UTeM.

Sementara itu, Flood Education Recovery Kit menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan video pendidikan interaktif berkaitan penjagaan kebersihan, langkah keselamatan serta aktiviti permainan yang sesuai untuk mangsa banjir, khususnya kanak-kanak.

Kedua-dua inovasi itu adalah hasil kerjasama antara UTeM, Nagaoka University of Technology (NUT) dan Shibata City Office, Niigata di Jepun melalui projek Service Learning Malaysia-University for Society (Sulam).

Menurut Dekan FTKIP, Prof. Dr. Mohd. Asyadi Azam Mohd. Abid, projek berkenaan dibangunkan berdasarkan permasalahan sebenar yang dikemukakan oleh komuniti di Jepun, sebelum pelajar menghasilkan solusi menggunakan pendekatan ‘Design Thinking’.

“Daripada tujuh projek akhir yang dibentangkan, hanya dua dipilih untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada K-Kampus.

 

Jelasnya, sepanjang pelaksanaan projek itu, pelajar perlu melalui dua peringkat penilaian iaitu pembentangan pertengahan (iESF) dan pembentangan akhir bersama panel daripada NUT.

“Simposium iESF: Innovating for Impact: 50 Years of Engineering a Sustainable Future merupakan persidangan yang dianjurkan bersama oleh (FTKIP) serta Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) serta Kilang Pengajaran.

“Kemuncak program menyaksikan pelajar UTeM membentangkan hasil inovasi mereka dalam The 3rd Industry-Academia-Government Collaboration Workshop for Regional Development yang berlangsung di Shibata City Hall, Jepun,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan pelajar universiti berkenaan dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi, yang bukan sahaja relevan di peringkat tempatan, malah mampu memberi manfaat kepada komuniti global.

Menurutnya, penglibatan aktif pelajar dalam projek berasaskan komuniti global seperti itu selari dengan agenda pengantarabangsaan universiti dalam melahirkan graduan kompeten, berdaya saing serta peka terhadap keperluan masyarakat sejagat.

“UTeM akan terus menyokong inisiatif sebegini bagi memastikan ekosistem pendidikan yang holistik dapat diperkasa, sekali gus menggalakkan lebih banyak inovasi yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, program berkenaan turut menghimpunkan pihak industri, akademia dan kerajaan bagi membincangkan penyelesaian inovatif untuk pembangunan serantau.

“Penyertaan ini turut diiktiraf sebagai mobiliti outbound bukan kredit, selaras dengan usaha pengantarabangsaan UTeM dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Jelas Massila, Inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan berimpak tinggi melalui gabungan elemen teknikal, inovasi dan khidmat kepada masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN