LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyeru barisan pemain memburu kemenangan ke atas Burnley awal pagi esok dalam usaha mencerahkan lagi peluang menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
Sebagai rekod, The Gunners kini berada dua mata di depan pencabar terdekat, Manchester City ketika saingan hanya berbaki dua perlawanan dan kedudukan pendahulu mampu berubah jika tercicir mata ketika menentang Burnley nanti.
Arteta mengakui pasukannya bukan sekadar mencari kemenangan, malah perlu mencari jaringan sebanyak mungkin untuk memperkukuhkan kelebihan yang ada ketika ini.
“Pertama sekali, kami perlu pastikan kemenangan. Tetapi, kalau dapat menang dengan lebih banyak gol, itu lebih baik.
“Kami melalui perlawanan sukar menentang West Ham dan berjaya menang. Ia satu perasaan yang hebat, tetapi kami tahu jaringan gol sangat penting pada penghujung musim ini,” katanya.
Sementara itu, Arteta mengesahkan pemain pertahanan, Jurrien Timber terlepas baki dua aksi EPL musim ini tetapi kemungkinan sempat pulih menjelang final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain pada 30 Mei depan.
“Timber pemain yang sangat penting kerana semua orang tahu kepimpinannya, kualiti dan betapa pasukan memerlukannya ketika ini. Masih ada peluang untuk dia bermain semula musim ini, tetapi saya tidak tahu sebesar mana peluang itu,” katanya. – AGENSI














