fbpx
Tangkap layar video memaparkan aksi ‘wheelie’ di lakukan remaja berkenaan di Jalan Raja Laut, baru-baru ini.

Padah ‘wheelie’ dan langgar lampu isyarat, remaja ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas dipercayai melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’ serta melanggar lampu isyarat di Jalan Raja Laut di sini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya mengesan video tular dimuat naik di Instagram pada semalam menerusi akaun milik suspek sendiri iaitu ‘lepdjeck’.

Menurut beliau, video tersebut memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil melakukan aksi ‘wheelie’ dan melanggar lampu isyarat di jalan awam.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan lelaki Melayu berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna hitam.

“Dalam rakaman itu, suspek dilihat memakai baju lengan panjang merah, seluar panjang hitam dan topi keledar hitam ketika melakukan aksi berbahaya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 25 April lalu antara pukul 2 hingga 3 pagi di Jalan Raja Laut.

Katanya, bertindak atas risikan dan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur berjaya mengesan serta menahan suspek pada pukul 1.30 pagi semalam di sekitar Jalan Raja Laut.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman turut dibuat dan mahkamah membenarkan reman selama sehari bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Mohd. Zamzuri berkata, pihaknya memandang serius tindakan pengguna jalan raya yang melakukan aksi berbahaya serta melanggar peraturan lalu lintas sehingga mengancam keselamatan pengguna lain.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak menjadikan jalan awam sebagai lokasi aksi berbahaya demi keselamatan semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN