fbpx
Facundo Garces (kanan) antara tujuh pemain warisan selain Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Vitor Figueiredo, Gabriel Arrocha, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Kewarganegaraan 7 pemain warisan sah – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kerajaan menegaskan pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan dan kelayakan mereka beraksi bersama skuad kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa adalah dua perkara berasingan yang perlu difahami semua pihak.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, status kewarganegaraan pemain terbabit tidak wajar dipertikaikan kerana semua proses dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan undang-undang berkaitan.

Kata beliau, kerajaan menggunakan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan bagi urusan berkenaan dan setiap permohonan didapati memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan.

“Saya cuma nak sebut dalam isu itu ada dua keadaan. Pertama ialah proses pemberian kewarganegaraan dan kedua ialah kelayakan pemain untuk bermain bagi pasukan Malaysia dalam pertandingan anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Jadi apabila proses itu kita lakukan, pemberian kewarganegaraan adalah mengikut tertib yang ditentukan serta mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkaitan. Itu tidak ada isu.

“Apakah status kewarganegaraan itu telah melalui semua kepatuhan yang dikehendaki mengikut Perlembagaan Persekutuan? Jawapannya ya,” katanya selepas Majlis Makan Malam dan Amanat kepada pasukan Liga Super Imigresen FC di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang memaklumkan Football Association of Malaysia (FAM) perlu membincangkan dan meneliti terlebih dahulu tuntutan supaya kerakyatan tujuh pemain warisan itu ditarik balik.

Perdana Menteri menegaskan perkara itu perlu melalui saluran sewajarnya termasuk penelitian pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengikut prosedur biasa.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, soal kelayakan pemain untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya berada di bawah bidang kuasa badan induk bola sepak dunia itu dan bukan lagi urusan kerajaan.

“Perkara itu tidak menjadi urusan kerajaan lagi. Kerajaan cuma memudah cara dari segi permohonan kewarganegaraan. Soal kelayakan bermain itu tanggungjawab FIFA. Itu yang saya faham daripada kenyataan Perdana Menteri di Seremban,” ujarnya.

Terdahulu, kumpulan penyokong bola sepak negara, Ultras Malaya mengemukakan tiga tuntutan termasuk mendesak kerakyatan tujuh pemain warisan terbabit ditarik balik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN