KULAI – Tindakan sepasang kekasih menyewa bilik hotel bajet di sini selama tiga jam dipercayai untuk melepaskan ‘rindu’ bertukar detik hitam apabila mereka dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pasangan berusia lingkungan 20-an berkenaan dipercayai baru sejam mendaftar masuk ke hotel terbabit sebelum kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
Menurut sumber JAINJ, pasangan terbabit menyewa bilik sehingga pukul 2 petang dipercayai bagi menghabiskan masa bersama tanpa gangguan.
“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan penguat kuasa melakukan pemeriksaan di hotel berkenaan sebelum mengetuk pintu bilik pasangan itu. Selepas hampir lima minit menunggu, pintu dibuka seorang lelaki berpakaian kasual, namun pemeriksaan awal gagal menemui wanita terbabit,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian mendapati wanita berkenaan bersembunyi di dalam tandas yang berkunci dari dalam.
“Pasangan itu memberi alasan hanya menumpang mandi, namun gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri. Susulan itu, kedua-duanya dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE














