PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Labuan sehingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, cuaca buruk melibatkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, amaran itu juga melibatkan kawasan Perak iaitu Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak serta Kuala Kangsar.
“Turut terlibat ialah Rompin di Pahang selain beberapa daerah di Johor termasuk Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” lapor MetMalaysia.
Sementara itu, di Sabah, kawasan pedalaman melibatkan Kuala Penyu serta Tawau turut menerima amaran cuaca sama manakala Wilayah Persekutuan Labuan juga dijangka mengalami ribut petir. – KOSMO! ONLINE














