SHAH ALAM – Anak sulung bekas wartawan penyiaran Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Datuk Karam Singh Walia, meninggal dunia kelmarin selepas 38 hari bapanya ‘pergi’ pada 6 April lalu akibat penyakit barah hati.
Berita pemergiaan Sharonjit Kaur, 43, pensyarah di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson itu dikongsikan oleh media sosial rasmi politeknik berkenaan.
Menurut rakan baik mendiang Sharonjit, Chong Ling Ling (Emilie), 39, dia mengenali mendiang yang mesra dipanggil Sharon sejak tujuh tahun lalu sebagai rakan sekerja dan tidak menyangkakan hubungan mereka menjadi rapat seperti ahli keluarga.
Katanya, dia mengetahui berita kematian berkenaan kira-kira pukul 8.45 pagi bermula dengan notifikasi dua friend request dalam laman media sosial Instagram, iaitu daripada adik mendiang, Manpreet dan anak buah mendiang, Esha.
“Hati saya dah rasa pelik, kenapa hantar friend request sebelah pagi ini? Tetapi saya tetap tekan acccept, adik mendiang terus membuat panggilan menerusi Instagram Call, saya hanya ingat tiga perkataan sahaja, Sharon Passed Away.
“Saya menangis kerana tidak dapat terima berita kematian kawan baik saya.
“Kami sudah janji menjalankan program sangkutan industri pensyarah (SIP) bersama, mendiang melaporkan diri pada Isnin lalu dan saya kelmarin,” katanya.
Katanya, mendiang meninggal dunia dalam tidur di kediamannya. – KOSMO! ONLINE














