PARIS – Wanita pertama Brigitte Macron dilaporkan menampar suaminya sejurus sebelum mereka keluar daripada pesawat semasa lawatan ke Vietnam selepas beliau membaca mesej teks mesra antara Presiden Perancis itu dan pelakon Iran, Golshifteh Farahani, demikian menurut dakwaan sebuah buku baharu seperti laporan laman berita The New Arab semalam.
Insiden itu dirakam kamera Associated Press pada Mei 2025 dan dilaporkan secara meluas di seluruh dunia, mencetuskan spekulasi mengenai hubungan antara Presiden Emmanuel Macron, 48, dan isterinya yang berusia 73 tahun.
Pegawai Perancis menolak dakwaan pertengkaran antara pasangan Macron pada masa itu dan berkata, mereka hanya sedikit kasar ketika ‘bergurau’.
Bagaimanapun, buku baru diterbitkan oleh wartawan Florian Tardif dan berjudul An (Almost) Perfect Couple mendakwa bahawa Brigitte marah selepas melihat mesej teks daripada Farahani yang berusia 42 tahun kepada suaminya.
Tardif mendakwa, Macron menghantar mesej teks kepada Farahani dengan kata-kata seperti ‘Saya rasa anda sangat cantik’, manakala pelakon itu memberitahu pemimpin Perancis tersebut, ‘Saya rasa anda sangat menarik’.
Brigitte dilaporkan membaca mesej tersebut di telefon Macron sejurus sebelum mereka dijadualkan turun dari pesawat di ibu negara Vietnam, Hanoi, dan ketika itulah, insiden ‘tamparan’ berlaku.
Walaupun mesej tersebut bersifat menggoda, Tardif berkata, hubungan antara Farahani dan Macron hanyalah bersifat platonik(rakan).
“Itulah yang diberitahu kepada saya berulang kali oleh orang sekeliling mereka”, kata wartawan itu.
Pelakon Iran itu juga berulang kali menafikan dakwaan mengenai hubungan sulit antara dia dan Macron, selepas akaun media sosial Iran mula menyebarkan khabar angin mengenai perkara ini.
Golshifteh Farahani memulakan kerjayanya di Iran tetapi menetap di Perancis sejak 2008, selepas membintangi filem Hollywood Body of Lies.
Pihak berkuasa Iran menuduhnya mempromosikan ‘propaganda Amerika’ sambil mengecamnya kerana muncul tanpa hijab dalam filem itu, dan dia tidak dibenarkan kembali ke Iran. – AGENSI














