fbpx
NASURA mengusahakan DusunNAS Agro menjadi sebuah destinasi agro pelancongan di Kampung Chelogeh, Ulu Beranang, Lenggeng, Seremban. – NUR SHARIEZA ISMAIL

Dulu kontraktor O&G, kini tauke durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – “Dulu saya beli tanah ini sebab minat berkebun dan suka makan durian saja.”

Demikian ujar Nasura Mohd. Yusof, 65, sambil melihat deretan 300 pokok durian di kebunnya di Kampung Chelogeh, Ulu Beranang, Lenggeng, di sini.

Bekas kontraktor industri minyak dan gas itu berkata, bermula daripada minat kebunnya itu berkembang menjadi DusunNAS Agro, sebuah dusun seluas lebih empat hektar yang kini terkenal sebagai lokasi agro pelancongan terkemuka di Mukim Lenggeng.

“Pada awalnya, saya membeli tanah pertama seluas 0.809 hektar pada 2010 ketika kawasan itu masih terbiar. Ketika itu harga tanah kira-kira RM80,000 seekar.

“Saya beli sedikit-sedikit sebab nampak potensi lokasi ini. Cabaran terbesar pada pe­ringkat awal ialah modal kerana hampir semua perkara memerlukan belanja besar. Lima tahun pertama memang duit keluar saja.

“Nak buat jalan masuk, beli baja, jaga kebun, semuanya guna kos tinggi. Daripada hanya 25 pokok, dusun ini kini memiliki hampir 300 pokok termasuk varieti premium seperti Musang King dan IOI,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, apabila pokok mula berbuah, dia bersama keluarga turut membangunkan sektor agro pelancongan dengan menyediakan inap desa, tapak perkhemahan dan ruang aktiviti keluarga.

“Orang bandar sekarang memang cari suasana kampung. Mereka suka makan dalam kebun, dengar bunyi durian jatuh dan hirup udara segar,” katanya.

Ujarnya, salah satu tarikan dusun tersebut adalah lokasinya yang terletak kira-kira satu kilometer dari air terjun dan jeram.

“Kami antara yang awal dapat Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) di sini. Penat memang penat, tapi bila lihat ke­luarga dapat urus sama-sama dan orang datang gembira, itu yang buat saya puas,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN