LONDON – Chelsea tidak boleh mensia-siakan peluang untuk meraih satu-satunya trofi musim ini menjelang perlawanan akhir saingan Piala FA menentang Manchester City di Stadium Wembley malam ini.
Walaupun menampilkan aksi kurang konsisten sepanjang saingan musim ini, namun The Blues masih mampu untuk melangkah ke pentas final, sekali gus membuktikan reputasi sebagai salah satu pasukan terbaik di England.
Pemain pertahanan Chelsea, Trevoh Chalobah menyifatkan perlawanan malam ini merupakan satu aksi cukup penting, lebih-lebih lagi mereka sering berdepan keputusan mengecewakan setiap kali beraksi di Wembley.
Tambahan pula, lapan kekalahan dan dua keputusan seri menentang City dalam 10 perlawanan terakhir memberikan keyakinan kepada skuad kendalian Pep Guardiola untuk meraih gelaran kedua mereka musim ini.
“Aksi final ini merupakan satu perlawanan yang sangat penting untuk saya dan pasukan. Kami berdepan turun naik sepanjang beraksi di Wembley dalam tempoh beberapa tahun ini, jadi kami mahu memenanginya.
“Saya fikir inilah masa untuk kami menjulang trofi tersebut dan semua pemain perlu memberikan segala-galanya. Kami mengharungi musim agak mengecewakan tetapi Piala FA ini mampu menjadi pengubat duka,” katanya.
Bagaimanapun, juara Eropah dua kali itu berada dalam situasi tidak menentu ketika ini apabila tewas empat daripada lima perlawanan terakhir, termasuk dimalukan Nottingham Forest 1-3 di laman sendiri.
Sementara itu, Chalobah menganggap peranannya pada perlawanan malam ini adalah mirip seperti Antonio Rudiger ketika membantu Chelsea menewaskan Manchester United pada final Piala FA 2017/18.
“Saya fikir memang ada persamaan antara saya dengan Rudiger walaupun peranan sedikit berbeza. Sekarang saya sebagai pemain senior dan perlu menjadi contoh untuk pemain-pemain muda,” ujarnya. – AGENSI














