PERNAH mencipta fenomena tersendiri sekitar 1980-an dengan deretan filem menggunakan namanya sebagai judul, aktor merangkap pengarah, AR Badul hakikatnya menceburi arena seni agak lewat iaitu pada usia 29 tahun.
Status sebagai anak kepada seniman terkenal ketika itu, AR Tompel bukanlah ‘tiket emas’ untuk menonjolkan kebolehan terutama sebagai pelawak.
Ketegasan bapanya selain jarak memisahkan mereka membuatkan pemilik nama sebenar Armaya Aman Ramlie itu nekad mencari jalan sendiri untuk berjaya dengan melakukan pelbagai pekerjaan rencam.
Mengakui meninggalkan alam persekolahan seawal umur belasan tahun, antara pekerjaan dilakukan termasuk bekerja kampung, jaga tapak pesta funfair, menebas dan turun ke laut menangkap ikan.
“Sewaktu bapa saya pindah Kuala Lumpur saya tak ikut, tunggal dengan emak angkat di Parit Jawa Muar. Emak angkat saya adalah ibu kepada pelakon Mat Sentul sebab bapa minta keluarga kawan baiknya jaga saya.
“Lama juga saya tinggal dengan mereka tapi waktu itu saya masih sekolah menengah, Mat Sentul pun sudah dewasa dan tiada di sana. Terjadi satu peristiwa yang buatkan saya enggan ke sekolah sebab kasut sekolah terbakar atas kesilapan sendiri.
“Terus saya nekad cari kerja. Iyalah remaja, semangat membuak-buak. Macam-macam saya buat tapi tak lama kemudian bapa bawa saya tinggal di rumahnya di Gombak. Cuma saya terus buat kerja rencam. Bapa bukan jenis senang-senang ‘tarik’ anak berlakon,” kongsinya kepada HibGlam.

Kongsinya, ketika di Gombak dia mengenali keluarga Kasma Booty yang tinggal berhampiran sekali gus belajar bermain dram dengan mereka. “Dari situ saya juga kenal R Jaafar yang hampir 20 tahun lebih senior. Kami jadi rapat dan saya ikut dia dengan pasukannya ke merata tempat bermain panggung kecil. Banyak tempat kami pergi sampai ke Indonesia. Kadangkala saya jadi penari, pak pacak dan melawak.
“Cuma kiranya peranan utama memang R Jaafar dan bintang senior lain termasuk Yahya Sulung. Sampailah beberapa tahun kemudian kami berdua memenangi Pertandingan Bakat TV 1975 anjuran RTM.
“Dari situ nama kami berdua dikenali malah kami dapat muncul dalam program 100 episod dan terbuka juga rezeki saya untuk tampil di layar perak.
“Itu pun saya dapat tawaran selepas beberapa tahun bapa meninggal dunia,” ujarnya.

Animasi
Antara filem yang kekal dalam ingatan ramai termasuk Si Badul, Guru Badul, Panglima Badol, Pak Tam Duda, Prebet Bujang Lapok, Keluarga 99, Kembar Siam, Pelumba Malam dan Salah Bapak.
Bahkan, senarai filem arahannya juga memang panjang dengan deretan judul seperti Si Jantung, Pagar-Pagar Cinta, Hantu Siang, Guru Badul serta Vik2ria Secret.
Biarpun tidak lagi aktif dek faktor usia, namun seniman serba boleh yang turut dikenali sebagai penulis skrip itu masih gigih dalam kerja penerbitan animasi dan drama televisyen.
Menurut Pengarah Terbaik di Festival Filem kelapan (FFM8) menerusi Oh Fatimah, jiwa seninya masih membara namun tawaran kini lebih kepada program animasi untuk pasaran luar negara.
Sesekali terdiam mengenang kisah lalu, kata Badul lagi setahun selepas pemergian bapanya iaitu selepas peristiwa 13 Mei 1969, dia bekerja sebagai konduktor bas.
Akuinya, sebelum menyertai Kasma Booty serta R Jaafar dan Yahya, dia melakukan apa sahaja pekerjaan sehinggalah menang Bakat RTM sebelum menjadi pelakon dan pengarah terkenal.
“Rezeki setiap insan sudah di atur sebaik mungkin. Kiranya selepas beberapa tahun berusaha, bakat saya diakui ketika akhir 1970-an. Memang banyak tawaran.
“Ketika itu saya tidak suka membazir. Guna kereta biasa, tinggal di rumah sederhana. Banyak duit saya laburkan untuk perniagaan. Saya akrab dengan Latiff Ibrahim. Kami cuba buka restoran, jual tayar serta kelola funfair.
“Tapi rezeki bukan ke situ. Begitu juga dalam perkahwinan. Orang tengok saya kahwin cerai, dicop buaya, suka tabur duit untuk perempuan. Namun hakikatnya saya lelaki paling kedekut. Duit saya habis ke bisnes, bukan berfoya-foya,” tegasnya.

Pengalaman mahal
Mengakui semua itu pengalaman mengajarnya menjadi lebih baik, sedikit pun Badul tidak ralat melalui pelbagai kepahitan di tengah kemasyhuran yang diraih. Dia bersyukur atas kurniaan Ilahi.
Menempuh lima kali kegagalan perkahwinan, dengan isteri terakhir dikahwini lebih 15 tahun lalu, Maizatul Akma Osman, hidup Badul kini bahagia dengan isteri dan anak perempuan yang berusia 12 tahun.
“Tiada apa yang nak dikesalkan atau dimusuhkan. Saya masih punya hubungan baik dengan bekas isteri malah bersyukur anak-anak juga memahami soal jodoh, ajal, maut di tangan Allah.
“Setakat ini kami berbahagia, tinggal di kejiranan PPR (Projek Perumahan Rakyat) di ibu negara. Saya tak malu pun sebab ini saja kami mampu.
“Dahulu bukan tak menyimpan, cuma memang sudah lebur untuk perniagaan. Bisnes tak menjadi tidak mengapalah, rezeki kita mungkin ke arah lain,” kata bapa kepada tujuh anak itu.
Lebih selesa menjalani kehidupan kini, Badul yang mempunyai penyakit jantung sejak empat tahun lalu turut bersyukur isterinya juga jururawat banyak membantu mengingatkan agar menjaga kesihatan.
“Penyakit ini juga antara ‘wake up’ call untuk saya lebih menghargai insan tersayang. Terima kasih isteri dan anak-anak. Mereka sumber kekuatan saya,” ujarnya menutup bicara.















