SAYA nak tanya, apakah hukum berguru dalam majlis ilmu dengan guru bukan Islam? Hal ini kerana mereka berbeza akidah dengan kita seperti Kristian atau Buddha. Ada dalil sama ada ia diharuskan atau diharamkan?
JAWAPAN: BERMUAMALAT, berguru dan menyertai perbicaraan bersama orang bukan Islam adalah dibolehkan di dalam Islam.
Namun, jika isi perbicaraan dan pengajaran tersebut memperlekehkan agama Islam, maka tidak boleh untuk orang Islam turut serta berhimpun di dalam majlis tersebut.
Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam kitab (al-Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.” (Surah al-Nisa’, 140)
Sheikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan Allah SWT melarang keseluruhan umat Islam sama ada orang beriman atau munafik daripada duduk sekali dalam majlis orang kafir yang mengutuk ayat-ayat Allah SWT.
Maka tidak boleh untuk duduk bersama-sama dengan mereka sehingga mereka mengubah bicara kepada topik lain. (Lihat Tafsir al-Munir, 3/332)
Berdasarkan pernyataan di atas, maka tidak mengapa jika mahu bermuamalat atau berguru dengan orang bukan Islam jika mereka tidak mempersendakan Islam.
Menuntut ilmu juga merupakan sesuatu yang dituntut di dalam Islam.
Di dalam sebuah hadis, ada diceritakan berkenaan tuntutan kepada orang Muslim untuk mencari ‘hikmah’ ilmu walau di mana jua ia dijumpai.
Sabda Nabi SAW: “Konsep hikmah merupakan harta yang hilang daripada orang mukmin. Jadi di mana sahaja ia berada, dia (mukmin) berhak ke atasnya.” (Riwayat Tirmidzi, 2687)
Ibn Rusyd di dalam kitabnya mengatakan bahawa seseorang manusia tidak mampu untuk menjadi pakar dalam segala bidang ilmu yang ada.
Jika terdapat seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang, maka generasi yang datang selepasnya harus merujuk kepada apa telah diperkatakan dan ditulis oleh beliau, tanpa mengira sama ada berlainan agama atau tidak.
Jika apa diperkatakan olehnya menepati dengan kebenaran, maka kita terimanya dan bersyukur terhadap apa yang telah beliau usahakan.
Dan jika apa yang diperkatakan olehnya bercanggah dengan kebenaran, maka kita harus menolaknya dan berhati-hati terhadap apa yang beliau khabarkan. (Lihat Fasl al-Maqal, 2/ 26, 28)
Namun begitu, Syeikh Muhammad Awwamah menasihatkan kepada umat Islam agar berguru dengan orang Islam sendiri di dalam bidang ilmu-ilmu syariah dan subjek berkaitan dengannya seperti Bahasa Arab.
Beliau menyebut kata-kata Imam Muhammad bin Sirrin di dalam kitabnya: “Sesungguhnya ilmu itu adalah (asas) agama, maka perhatikan daripada siapa kamu mengambil agama (ilmu) kamu. (Lihat: Maalim Irsyadiyyah, 1/ 197)
Kesimpulan, berdasarkan perbincangan di atas, hukum berguru dengan orang bukan Islam adalah diharuskan selagi mana guru tersebut tidak mencela agama Islam dan syariatnya.
Adalah mustahil bagi seseorang itu untuk menguasai keseluruhan ilmu dan bidang di atas dunia ini.
Maka disebabkan itu, adanya keharusan bagi umat Islam untuk menuntut ilmu daripada pakar-pakar yang berkaitan, walaupun berlainan agama.














