PETALING JAYA – Seorang pekerja sanggup mengangkut kuali berisi makanan ke tempat kerja semata-mata mahu berkongsi rezeki bersama rakan setugas.
Menerusi hantaran dimuat naik di Threads Fareeq_Rahim, dia berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp rakannya yang memaklumkan telah memasak spageti aglio olio untuk sarapan pagi.
Apa yang mencuri tumpuan adalah alasan jujur rakan sepejabatnya itu yang terpaksa membawa kuali kerana ketiadaan bekas makanan di rumah.
“Saya bawa spageti aglio satu kuali, tak ada bekas la. Korang tak payah bawa sarapan okay,” kata individu berkenaan dalam kumpulan WhatsApp tersebut.
Pemilik hantaran itu pada mulanya menyangka rakannya itu sekadar bergurau, namun dia juga terkejut apabila melihat kuali berisi spageti itu benar-benar ‘mendarat’ di atas meja pejabat mereka.
“Kau tengok lah perangai staf pejabat aku hari ini. Aku ingat dia main-main bawa kuali.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut terhibur dengan kesungguhan pekerja tersebut yang dianggap sangat ‘sporting’ dan pemurah.
“Sila habiskan sebagai menghargai usaha dia angkut kuali, berat tau,” ujar Mazeed_Esfie.
“Senang, dah habis basuh terus. Kat rumah tak payah basuh dah,” seloroh Shhrzll pula.
“Takpelah bang, objektifnya yang penting spageti sampai ke pejabat,” kata Zlkxrffn. – KOSMO! ONLINE














