LONDON – Berbaki dua perlawanan lagi musim ini, Tottenham Hotspur tidak boleh lagi terus tercicir mata seandainya enggan tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang kempen 2026/27.
Hanya memiliki kelebihan dua mata ke atas pasukan tangga ke-18, West Ham United, Spurs perlu memanfaatkan sepenuhnya dua aksi terakhir, namun ia bukan tugas mudah apabila perlu berdepan Chelsea dan Everton.
Menurut pakar kewangan, Stefan Borson, pasukan utara London itu berpotensi kehilangan sumber pendapatan lebih £200 juta (RM1.06 bilion) seandainya tersingkir dan terpaksa beraksi dalam Liga Kejuaraan musim depan.
Sekiranya berlaku, ia merupakan sejarah baharu buat juara Liga Europa 2024/25 itu kerana mereka tidak pernah tersingkir daripada saingan Liga Perdana era moden.
“Mereka bukan sahaja akan tersingkir, malah turut kehilangan banyak sumber pendapatan. Mereka akan hilang peruntukan daripada UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah) dengan nilai hampir £100 juta (RM532.2 juta).
“Untuk domestik pula, mereka mungkin kehilangan hak penyiaran bernilai £200 juta setahun. Daripada jumlah £200 juta sedia ada, mereka dijangka hanya menerima £55 juta (RM292.71 juta) dengan kerugian £145 juta (RM771.69 juta),” kata Borson.
Selain wang hak penyiaran, klausa perjanjian dengan barisan penaja juga mungkin akan diaktifkan di mana Spurs dijangka menerima bayaran jauh lebih rendah berbanding apa yang diterima ketika ini.
Justeru, Spurs wajib untuk mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir menentang Chelsea dan Everton, manakala West Ham juga akan berdepan laluan sukar bertemu Newcastle United dan Leeds United. – AGENSI














