fbpx
Rashidi pada persidangan DUN Pulau Pinang di George Town, hari ini.

P. Pinang nafi pembangunan Pulau Silikon jejas sektor perikanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyangkal dakwaan bahawa pembangunan Pulau Silikon telah menjejaskan sektor perikanan di kawasan Batu Maung dan Teluk Kumbar, khususnya melibatkan pendapatan nelayan pantai.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keselamatan Makanan dan Keusahawanan, Datuk Rashidi Zinol berkata, berdasarkan tinjauan di lapangan dan sesi libat urus, pendapatan nelayan di kawasan berkenaan adalah bersifat dinamik dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor luar seperti cuaca, musim dan harga pasaran.

“Setakat maklum balas yang diperoleh menunjukkan nelayan di kawasan projek Pulau Silikon tidak mengalami keadaan tiada tangkapan hasil laut akibat kerja-kerja tersebut.

“Pendaratan ikan oleh nelayan di kawasan Teluk Kumbar dan Batu Maung menunjukkan trend yang stabil.

“Pada tahun 2023, jumlah pendaratan yang diisytiharkan adalah sebanyak 472.44 tan, manakala bagi tahun 2025, angka tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 496.57 tan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah (Pas-Pulau Betong) berhubung nasib nelayan di Pulau Pinang semakin terhimpit akibat pembangunan dan kos operasi meningkat.

Mengulas lanjut, Rashidi memberitahu, perbandingan data tersebut secara jelas menunjukkan bahawa tiada pengurangan atau peningkatan yang ketara dalam hasil tangkapan.

“Kerajaan negeri tidak memberikan ‘pampasan’ kerana tiada nelayan atau orang perseorangan yang perlu dipindahkan bagi kerja-kerja tambakan Pulau Silikon. Malah, nelayan juga tidak terhalang untuk turun ke laut sepanjang projek Pulau Silikon dijalankan.

“Bagi mengekalkan komuniti nelayan di kawasan ini dan menjadi komuniti yang lebih berdaya saing, moden dan mandiri, kerajaan negeri telah merangka dan melaksanakan pelbagai program dan inisiatif di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM).

“Kerajaan negeri juga telah menyalurkan bayaran ex-gratia sebagai bentuk ihsan dan komitmen sosial di bawah SIMP,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin terhadap kebajikan komuniti nelayan dalam mendepani arus pembangunan dan perubahan landskap ekonomi global.

“Justeru, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan pelan intervensi yang komprehensif bagi memastikan golongan nelayan tidak terpinggir daripada arus pembangunan perdana melalui pelaksanaan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN),” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN