PETALING JAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa pembangunan pusat data perlu bergerak seiring dengan kelestarian, kecekapan penggunaan tenaga dan air.
Beliau berkata, ia juga perlu disertai dengan perancangan sumber negara yang bertanggungjawab.
“Ketika merasmikan Ekspo Pusat Data dan Infrastruktur Awan Malaysia 2026, semalam, saya menegaskan bahawa pembangunan pusat data perlu bergerak seiring dengan kelestarian, kecekapan penggunaan tenaga dan air, serta perancangan sumber negara yang bertanggungjawab,” katanya di media sosial, hari ini.
Tambah beliau, di samping itu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga komited memperkukuh penglibatan syarikat tempatan.
“Kami komited memperkukuh penglibatan syarikat tempatan dan pembangunan bakat Malaysia dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI).
“Turut terlibat, pengkomputeran awan (cloud) dan juga digital agar manfaat pertumbuhan industri ini dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” ujarnya.
Ekspo Pusat Data dan Infrastruktur Awan Malaysia 2026, merupakan program dua hari yang bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan menghimpunkan para pengendali pusat data, penyedia perkhidmatan awan, inovator AI dan pelabur teknologi dari seluruh negara. – KOSMO ONLINE














