fbpx
ZALIFAH MD. ALWI.

Doa jadi ‘tetamu VIP Allah’ dimakbulkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – “Saya doa tiap-tiap hari, jadikan saya tetamu VIP Allah.”

Itu doa yang tidak pernah putus di bibir seorang jemaah haji Malaysia, Zalipah Md. Alwi, 73, yang akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas lebih 30 tahun menyimpan impian menunaikan ibadah haji.

Menurut Zalipah, dia mula memasang hasrat untuk menjadi tetamu Allah sejak usia 40-an, namun pelbagai ujian hidup menyebabkan impiannya tertangguh.

Katanya, antara cabaran terbesar ialah perlu menjaga ibunya yang uzur selain berdepan detik sukar ketika pandemik Covid-19.

“Ramai orang dah pergi haji, saya masih tunggu lagi. Kadang-kadang tertanya juga kenapa belum sampai rezeki saya.

“Tapi saya percaya Allah ada waktu terbaik. Saya cuma terus berdoa dan berharap,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, doa menjadi ‘tetamu VIP Allah’ bukan bermaksud mahu layanan mewah, sebaliknya berharap segala urusan dipermudahkan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya datang seorang diri, tapi rasa Allah mudahkan semuanya. Dapat kawan-kawan baik, urusan perjalanan lancar dan ibadah pun rasa tenang. Itulah yang saya maksudkan jadi tetamu VIP Allah,” katanya.

Tambah Zalipah, dia percaya tiada doa yang mustahil jika seseorang benar-benar berserah kepada Allah.

Menurut Zalifah, ibunya meninggal dunia akibat Covid-19 pada usia 95 tahun dan kehilangan itu menjadi antara detik paling berat dalam hidupnya.

“Mungkin Allah tangguhkan sebab saya kena jaga mak dulu. Bila mak meninggal dunia, baru Allah jemput datang sini,” katanya.

Dalam pada itu, Zalipah mengakui perjalanan hidupnya tidak mudah apabila pernah menjadi mangsa penipuan pakej umrah sehingga kerugian RM14,000 bersama suami beberapa tahun lalu.

Katanya, pengalaman tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyimpan impian menjadi tetamu Allah.

“Saya percaya setiap ujian ada hikmah. Kalau diuji, kita sabar dan terus berharap pada Allah,” katanya.

Zalipah turut menasihatkan bakal jemaah supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan tawaran pakej umrah atau haji secara persendirian.

“Jangan mudah percaya walaupun orang nampak baik. Kalau nak pergi haji atau umrah, ikut saluran betul dan agensi yang dipercayai,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN