fbpx
Pulau Tioman. - GAMBAR HIASAN

Pelancong Rompin, Pulau Tioman terjejas teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Meskipun mempunyai pulau terkenal di dunia dan khazanah laut yang bernilai termasuk ikan layaran serta keindahan flora dan fauna Taman Negara namun daerah Rompin menjadi satu-satunya daerah di negeri ini yang merekodkan penurunan jumlah pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, berdasarkan statistik daerah Rompin menjadi satu-satunya daerah yang merekodkan penurunan pelancong di negeri ini manakala daerah Maran merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 147 peratus.

Katanya, secara keseluruhan daerah Rompin merekodkan penurunan 21 peratus jumlah pelancong kepada 208,326 orang pada tahun lalu dengan Pulau Tioman merekodkan penurunan sebanyak 34.8 peratus kepada 137,887 pelancong berbanding 211,564 pada tahun sebelumnya.

“Daerah lain menunjukkan peningkatan iaitu Kuantan merekodkan 2.69 juta pelancong peningkatan 7.98 peratus, Bentong seramai 9.49 juta pelancong peningkatan 6.9 peratus, Cameron Highlands 2.1 juta pelancong peningkatan 52.45 peratus, Temerloh 292,442 orang peningkatan 2.24 peratus dan Jerantut 237,739 pelancong peningkatan 25 peratus.

“Pekan pula merekodkan 33,730 pelancong iaitu peningkatan dua peratus, Raub 140,174 pelancong peningkatan 1.5 peratus, Lipis 49,973 pelancong peningkatan 3.48 peratus, Maran 15,220 peningkatan 147 peratus dan Bera 23,139 pelancong peningkatan 7.53 peratus,”katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal kelima Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang bertanyakan jumlah pelancong melawat setiap daerah di Pahang pada 2025 serta kadar peningkata atau penurunan dalam bentuk peratus berbanding 2024.

Menurut Yu Man secara keseluruhan jumlah pelancong ke negeri ini meningkat 11.37 peratus kepada 15.28 juta pada tahun lalu berbanding 13.73 juta pada tahun sebelumnya.

“Untuk makluman tambahan bagi suku pertama Januari hingga Mac tahun ini, Pahang mencatatkan ketibaan pelancong seramai 3.25 juta orang dan kalau berbanding dengan suku tahun pertama 2025 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.63 peratus,”katanya.

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan mengenai sasaran pelancong yang mungkin terjejas akibat krisis global beliau berkata kerajaan negeri mengekalkan sasaran kehadiran seramai 15.5 juta pelancong ke Pahang pada tahun ini.

Katanya, fokus kini diberikan kepada pelancong domestik dan pelancong daripada negara Asia susulan kekurangan pelancong antarabangsa khususnya daripada Eropah.

“Bagi merealisasikan sasaran tersebut kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM34.65 juta untuk sektor pelancongan pada 2026 termasuk RM34.65 juta kepada Tourism Pahang.

“Selain itu lebih 80 acara pelancongan turut dirancang sepanjang sepanjang tahun bagi memastikan aliran kedatangan pelancong yang berterusan serta memberi impak positif kepada ekonomi negara,”katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN