KEMAMAN – Padah menjual rokok tidak dilabel amaran kesihatan dan lebih murah daripada harga lantai, RM12 sekotak pada tujuh bulan lalu, seorang pengusaha kedai runcit didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Marsha Abdul Malik menjatuhkan hukuman demikian selepas Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan.
Beliau memerintahkan pemilik kedai runcit terbabit didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, produk paket rokok jenama dari Indonesia yang tidak berlabel amaran kesihatan didakwa dijual di kedai runcit berkenaan.
Premis sama juga didakwa menjual paket rokok dua jenama berlainan pada harga RM6 sekotak yang lebih murah daripada harga miminum dibenarkan iaitu RM12.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kedai runcit terbabit yang terletak di Kampung Tengah, Chukai, pada pukul 11.30 pagi, 27 Oktober 2025.
OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd. Azman Mohd. Ramli dan Mohd. Nasir Mohd. Shaari. – KOSMO! ONLINE














