PETALING JAYA – Cubaan menyeludup masuk 300 guni beras dipercayai dari negara jiran tumpas apabila sebuah lori ditahan dalam Op Taring Bravo 4 di lampu isyarat Simpang Tiga Felda Papulut, Kilometer 69 Jalan Gerik-Kuala Kangsar, Perak awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira pukul 6 pagi itu dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, operasi itu berjaya memutuskan rangkaian penyeludupan beras tidak bercukai selain mengekang kemasukan bekalan menggunakan jalan tidak sah.
“Pihak kami akan terus mempergiat operasi risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang menyalahi undang-undang serta boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan bersama sebuah lori jenis Nissan UD dipercayai membawa muatan beras seludup.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan beras berkenaan. Turut dirampas sebuah lori Nissan UD seberat 25,000 kilogram dan sebatang anak kunci lori.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM184,000 dengan nilai rampasan beras sahaja berjumlah RM69,000,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Perak untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














