fbpx
Tangkap layar video penjelasan Nik Muhammad Zawawi berhubung ceramahnya yang mencetuskan kontroversi.

[VIDEO] Nik Zawawi beri penjelasan isu ceramah kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memberi penjelasan berhubung ceramahnya yang mencetuskan kontroversi selepas dikatakan mengaitkan Saidina Abu Bakar dengan istilah ‘ceti’ ketika menyentuh tentang sistem ekonomi masyarakat jahiliah.

Menerusi satu video penjelasan yang dikongsikan di Facebook, beliau menegaskan penggunaan istilah tersebut bukan bertujuan menghina atau merendahkan martabat sahabat Rasulullah SAW, sebaliknya sebagai analogi supaya masyarakat lebih mudah memahami realiti sistem ekonomi zalim pada zaman jahiliah.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam sistem yang menindas sehingga ada individu yang terjerumus menjadi hamba akibat hutang dan kegagalan melunaskan bayaran.

“Sekiranya perkataan ceti itu tidak sesuai maka gunalah perkataan lain. Cuma saya ingin tegaskan bahawa Allah SWT mewujudkan para sahabat bersama dengan Rasulullah ini mereka duduk di zaman jahiliyah satu kemudian mereka berpindah ke zaman Islam.

“Saya sebut perkataan ceti supaya masyarakat kita lebih mudah memahami bagaimana kejamnya zaman jahiliyah dan bagaimana inlahnya zaman Islam,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, Allah SWT meletakkan para sahabat hidup dalam dua fasa berbeza iaitu zaman jahiliah dan zaman Islam bagi menunjukkan transformasi besar yang dibawa Rasulullah SAW.

Katanya, individu yang sama seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Al-Khattab dan sahabat lain melalui perubahan ketara selepas menerima tarbiah Islam.

“Allah SWT jadikan dia (Saidina Abu Bakar) model daripada orang yang bermuamalah dengan sistem ini (sistem jahiliah) tiba-tiba bila dia memeluk Islam dia menerima nizam Tarbiyah Al-Islamiyah daripada Nabi SAW menyebabkan Saidina Abu Bakar menjadi model kepada masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan sengaja menangguhkan penjelasan berhubung isu tersebut bagi melihat reaksi masyarakat terhadap kenyataannya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan tidak pernah sesekali berniat menyentuh atau memperlekehkan kedudukan para sahabat Rasulullah SAW.

Kontroversi berkait Nik Muhammad Zawawi tercetus selepas tular video ceramahnya yang dikatakan membawa kisah tidak sahih dan menghina empat sahabat terdekat Nabi Muhammad SAW.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.

Perkara itu mengundang kritikan pelbagai pihak kerana menganggap kenyataan tersebut tidak sensitif terhadap tokoh-tokoh besar Islam selain ada yang meminta Nik Muhammad Zawawi segera bertaubat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN