KLUANG – Sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk memacu ekonomi selain meningkatkan kesejahteraan keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai pendekatan dengan melibatkan anggota Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) di seluruh negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat lebih 1,000 keluarga ATM melibatkan diri dalam program yang dirancang khusus untuk membawa dan mendedahkan mereka kepada soal membangunkan keupayaan dan memantapkan lagi kedudukan ekonomi.
Katanya, apabila setiap keluarga tentera sudah terjamin ekonominya, setiap anggota tidak lagi terganggu dengan isu-isu soal kesejahteraan keluarga mereka, soal-soal cabaran hidup keluarga dan sebagainya.
“Atas dasar itulah kita adakan program seperti ini agar usaha untuk meningkatkan kesejahteraan setiap keluarga ATM mencapai matlamat yang disasarkan.
“Selama ini kita hanya berkisar kepada soal kesihatan, pendidikan anak-anak, kebajikan dan sebagainya, kini tumpuan diberikan kepada usaha untuk kesejahteraan ekonomi keluarga,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Majlis Peluncuran Program Ekonomi Madani Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu Tiga, Kluang hari ini.
Menurut Mohamed Khaled lagi, Program Ekonomi Madani ATM yang di luncurkan hari ini adalah merupakan salah satu usaha pihaknya dan didalam memperkasa ekonomi keluarga anggota tentera.
Ujarnya, program seperti madu kelulut, cendawan dan sebagainya yang diusahakan melalui didikan daripada pelbagai universiti tempatan pasti akan membuahkan hasil kepada setiap peserta terlibat.-KOSMO! ONLINE.














