KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 19 tahun yang merupakan suspek kes pembunuhan seorang gadis maut 61 tikaman sebelum ditinggalkan di Kampung Simah, Ketereh di sini pada 1 Mei lalu tiba untuk prosiding pendakwaan.
Suspek yang memakai baju-T berwarna hitam tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Suspek dijangka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang gadis, Nurfisya Zulkifly, 19, dibunuh dengan 61 tikaman sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati, ada sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.
Sehubungan itu, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bermula 2 Mei lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Dua remaja berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama 14 hari manakala pasangan suami isteri berusia 66 tahun dan 60 tahun yang ditahan reman selama tiga hari bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada 3 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE














