fbpx
Tangkap layar video yang dimuat naik oleh @Sumudnusantaraofficial berkenaan dengan Thiago Avila.

Thiago bebas tahanan Israel, selamat sampai di Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan dan pemimpin misi Global Sumud Flotilla, Thiago Ávila akhirnya disahkan bebas daripada tahanan pihak berkuasa Israel semalam.

Menerusi kenyataan rasmi pusat perundangan Adalah yang berpangkalan di Haifa, pembebasan itu disahkan selepas mereka menerima tekanan antarabangsa berhubung penahanan haram dua aktivis di perairan antarabangsa baru-baru ini.

Meskipun dibebaskan, organisasi hak asasi manusia antarabangsa, FIDH dan Adalah tetap mengecam sekeras-kerasnya proses penahanan tersebut yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Pagi ini, 10 Mei 2026, kami menerima pengesahan rasmi pemimpin GSF, Thiago Ávila dan Saif Abukeshek dibebaskan dan dihantar pulang serta tidak lagi berada dalam tahanan Israel.

“Walaupun bebas, kami mengutuk keseluruhan proses tersebut sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa kerana telah menculik mereka di perairan antarabangsa yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Kenyataan itu turut mendedahkan penggunaan taktik penahanan, soal siasat, dan layanan buruk terhadap aktivis adalah cubaan terdesak rejim untuk menekan solidariti global bersama rakyat Palestin di Gaza.

Thiago Ávila yang merupakan warga Brazil sebelum ini menyertai misi flotilla tersebut bagi membawa bantuan dan kesedaran mengenai krisis kemanusiaan yang sedang berlaku sebelum kapal mereka dipintas oleh tentera laut Israel.

Kepulangan Thiago ke Brazil disambut dengan rasa syukur oleh komuniti aktivis dunia, namun FIDH berikrar akan terus berjuang untuk menamatkan budaya kebal undang-undang yang diamalkan oleh pihak berkuasa Israel setiap hari di Gaza.

Semalam Kosmo! melaporkan rakan seperjuangannya, Saif Abukeshek turut bebas daripada tahanan pihak berkuasa Israel selepas enam hari mengharungi detik kejam dalam penjara rejim berkenaan.

Kedua-dua aktivis tersebut dilaporkan telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan tidak lagi berada dalam tahanan. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN