fbpx
Tangkap layar video memaparkan remaja tersebut ketika mengimamkan solat jenazah dan membaca talkin buat Allahyarham bapanya.

[VIDEO] Anak 14 tahun jadi imam solat jenazah, talkin Allahyarham bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tenang mengimamkan solat jenazah dan memberikan talkin buat bapanya, Allahyarham Dr. Aiman Roslan, mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai.

Menerusi video tular di media sosial, anak sulung Allahyarham yang memakai jubah berwarna putih berdiri di hadapan jemaah sambil memimpin bacaan solat dan zikir di sebuah surau di Shah Alam.

Kemudian, sebaik sahaja jenazah Allahyarham bapanya selesai dikebumikan, remaja lelaki itu dilihat tenang membacakan talkin di hadapan ahli keluarga dan jemaah yang hadir sehingga mengundang suasana hiba dalam kalangan orang ramai.

Di dalam talkinnya, anak sulung Allahyarham berkata, bapanya meninggalkan segala-galanya kecuali amalan sebagai bekalan di akhirat sana.

“Hari ini dia telah meninggalkan dunia, dia telah meninggalkan kita, dia telah meninggalkan semua berkaitan dunia kecuali amalannya.

“Mungkin pada esok hari atau hari sedemikian kita juga akan dijemput oleh Nya. Sehingga masa itu sampai, kita perlu memantapkan amalan kita dengan penuh ikhlas dan kasih sayang,” katanya ketika membacakan talkin.

Allahyarham yang juga seorang petugas kesihatan meninggalkan seorang balu bersama lima orang anak.

Difahamkan isterinya yang juga seorang petugas kesihatan baru sahaja melahirkan anak pada 6 April lalu dan kini sedang dalam tempoh berpantang.

Menurut perkongsian beberapa rakan di media sosial, Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 38 tahun.

Sebelum ini, tular beberapa video dan gambar memaparkan keadaan di surau serta tanah perkuburan di Seksyen 21, Shah Alam yang dipenuhi orang ramai apabila ratusan jemaah hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Perkongsian tular itu sekali gus mengundang persoalan dalam kalangan pengguna media sosial yang tertanya-tanya siapakah sebenarnya Allahyarham sehingga pemergiannya begitu dirasai dan diiringi kehadiran luar biasa daripada masyarakat.

Tinjauan di media sosial ramai yang mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan seluruh keluarga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini.

“Hasil didikan tauhid sufi ibu ayah pada anak-anak, umur 14 tahun dah boleh imamkan solat jenazah ayah dan memimpin zikir. Allahuakbar,” tulis Aisyah.

“Dr Aiman. Sangat baik. Sentiasa sebarkan kebaikan. Tengoklah media sosial Allahyarham, tiada yang tidak baik. Semua tentang kebaikan,” kata Khyer. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN