PETALING JAYA – Glomac Berhad (Glomac) melancarkan 16 Legacy, koleksi eksklusif 16 buah rumah berkembar dua tingkat di Saujana Rawang yang menampilkan projek perumahan yang megutamakan ruang, privasi dan keselesaan jangka panjang.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, projek dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kira-kira RM21 juta itu mewakili penawaran kediaman berketumpatan rendah yang lebih eksklusif dalam perbandaran tersebut, mencerminkan evolusi berterusan Glomac ke arah pembangunan yang lebih terancang dan teliti.
Projek rumah yang ditawarkan pada harga bermula RM1.2 juta itu terletak di dalam kawasan crescent peribadi, 16 Legacy bersesuaian untuk pemilik rumah yang mencari suasana kediaman lebih eksklusif dalam lokasi yang mapan dan sedang berkembang, sekali gus mengukuhkan kedudukan Saujana Rawang sebagai destinasi kediaman yang semakin mendapat permintaan.
Menurut beliau, setiap kediaman di 16 Legacy telah direka untuk menyokong kehidupan berbilang generasi melalui pelan lantai yang luas dan fleksibel, dengan saiz lot minimum 45’ x 80’, memberikan keluasan tanah yang lebih besar untuk meningkatkan ruang dan keselesaan hidup.

“16 Legacy adalah langkah terancang dalam membentuk penawaran kediaman kami. Dengan hanya 16 rumah, ini adalah pembangunan berketumpatan rendah yang memberi keutamaan kepada ruang, privasi dan keselesaan jangka panjang.”
“Kami sedar bahawa pembeli rumah masa kini, khususnya keluarga berbilang generasi, mencari kediaman yang boleh berkembang bersama mereka dari masa ke masa. 16 Legacy menggabungkan fleksibiliti, rasa keterikatan dengan lokasi serta ketenangan suasana tasik di Saujana Rawang,” katanya dalam kenyataan.
Rumah-rumah ini menampilkan konsep dwifasad yang meningkatkan pencahayaan semula jadi dan pengudaraan, di samping susun atur terbuka yang menyokong gaya hidup harian yang lancar.
Ruang fleksibel khas membolehkan pemilik rumah menyesuaikan kediaman mengikut keperluan, sama ada sebagai bilik kerja, bilik tetamu atau ruang keluarga tambahan.
Setiap unit dilengkapi dengan lebih 16 kaki ruang sisi dan belakang, membuka peluang untuk taman peribadi dan kehidupan luar yang tenang. Kapasiti anjung kereta yang luas serta susun atur yang teliti menambah praktikaliti harian tanpa menjejaskan keselesaan dan reka bentuk.
Terletak dalam persekitaran tasik, 16 Legacy menawarkan gaya hidup yang mendekatkan alam semula jadi dengan kediaman, dengan kehijauan dan elemen air sebagai sebahagian daripada pelan induk Saujana Rawang.
Perbandaran ini terus berkembang sebagai alamat kediaman yang berhubung baik, disokong oleh akses melalui Guthrie Corridor Expressway, Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR) dan Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), serta berhampiran dengan stesen KTM Rawang dan pusat bandar utama. -KOSMO! ONLINE














