KUALA LUMPUR – Tempoh reman ke atas seorang lelaki yang dipercayai merempuh sehingga merabut nyawa pasangan suami isteri di Jalan Ampang, di sini disambung lima hari lagi bermula hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, lelaki berusia 24 tahun itu dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini kira-kira pukul 11 pagi untuk proses permohonan tersebut.
Katanya, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Munirah Wan Mustafa membenarkan suspek disambung reman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada petang ini untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk di Jalan Ampang pada 2 Mei lalu.
Dalam kejadian pada pukul 5.35 pagi itu, kereta jenis Toyota Vios tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang motosikal Honda Wave Alpha yang dinaiki pasangan terbabit. – KOSMO! ONLINE














